Sejarah perkembangan Bahasa_Maori

Sejak kedatangan bangsa Māori ke New Zealand sebelum dijajah oleh Bangsa Inggeris, bahasa Māori adalah bahasa rasmi di wilayah tersebut. Bermula pada tahun 1860-an, bahasa Māori mula tergugat dengan adanya bahasa Inggeris yang dibawa oleh para pelayar dari Inggeris iaitu mubaligh, pelombong dan pedagang. Pada akhir abad ke-19, sistem pendidikan Inggeris mula diperkenalkan bagi seluruh penduduk New Zealand, dan pada tahun 1880-an penggunaan bahasa Māori di sekolah adalah dilarang. Oleh sebab demikian, semakin ramai orang Māori belajar bahasa Inggeris kerana telah menjadi kewajipan serta peluang yang diberikan untuk berbahasa Inggeris. Namun demikian, sehingga Perang Dunia II, masih ramai orang Māori masih menggunakan bahasa Māori sebagai bahasa ibunda mereka. Pada waktu itu, Bahasa Māori digunakan untuk kegiatan keagamaan di gereja, di rumah, untuk pertemuan-pertemuan politik serta akhbar yang menggunakan bahasa tersebut.

Pada tahun 1930an, anggota parlimen daripada kalangan bangsa Māori dipinggirkan kerana pada zaman itu semua pertemuan parlimen New Zealand hanya menggunakan bahasa Inggeris. Dalam linkungan ini, jumlah penutur bahasa Māori mula menurun secara drastik hingga pada tahun 1980an, kurang dari 20% daripada orang Māori boleh berbahasa Māori dengan fasih. Bahkan daripada jumlah tersebut, banyak yang tidak menggunakan bahasa Māori di rumah mereka lagi.

Bermula pada tahun 1980an, para pemimpin bangsa Māori mulai menyedari kehilangan bahasa mereka yang akan menjejaskan identiti kebudayaan bangsa Māori. Kebudayaan bangsa Māori yang mula pupus itu dipulihara dengan pelbagai jenis program, salah satu daripadanya ialah program “Menghidupkan Kembali bahasa Māori” . Selain itu, terdapat juga gerakan Kōhanga Reo yang mengajarkan bahasa Māori sejak kecil hingga ke alam persekolahan. Program ini kemudian ditambahakan dengan program Kura Kaupapa, iaitu sekolah rendah yang menggunakan bahasa perantaraan dalam bahasa Māori.